Seminar Keibubapaan Didik Anak Capai Target Sekolah Tanggungjawab Bersama - Shabery Cheek

AIR PUTIH - Darsawarsa ini golongan belia yang bermasalah dikatakan berpunca dari faktor sekeliling yang mendorong mereka menjadi seorang yang alpa. Perkara-perkara negatif yang bersulam dengan aktiviti seharian mereka tidak harus dibiarkan.

Lazimnya, lapisan masyarakat yang terdiri daripada ibu bapa yang bekerjaya menyalahkan guru kerana tidak peka dengan perubahan anak mereka. Bagaimana pula halnya dengan mereka yang berada di luar bandar? Adakah salah guru jua yang mendidik?

Calon Barisan Nasional Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek berkata, kelahiran generasi baru pada hari ini tidak sama dengan zaman dahulu. Generasi hari ini atau dikenali sebagai Generasi Y adalah individu yang aktif dan sukar untuk menerima pendapat mereka yang lebih tua.



Oleh kerana itu, kita harus menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menegur dan mendidik golongan ini. Apa yang membimbangkan kini, para belia semakin dekat dengan masalah LGBT atau Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual semakin menular.

Apakah kita mahu melihat perkara ini semakin berleluasa? Katanya lagi, di Selangor, pergerakan LGBT atau lebih dikenali pergerakan seksual merdeka ini semakin menjadi-jadi ekoran pembabitan seorang peguam bernama Ambiga, yang juga ketua kepada pergerakan BERSIH menyokong dan membenarkan perkara ini dilakukan di Malaysia.

Adakah kita mahu pergerakan ini menjadi suatu amalan yang sebati dalam diri anak-anak kita? Jika tidak, kita haruslah bersama-sama berganding bahu, tidak hanya menuding jari ke arah yang lain, menyalahkan satu sama lain.

Ahmad Shabery Cheek mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih dan pihak PIBG sekolah kerana berjaya menjalankan satu seminar keibubapaan. Seminar ini harus menekankan soal tanggungjawab dalam mendidik anak tidak terhad kepada guru semata-mata, malah haruslah bekerjasama khasnya dengan pihak sekolah demi mencapai suatu tahap akademik yang cemerlang.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dalam masa akan datang demi kelangsungan akademik pelajar dan sekolah. Semoga seminar ini dapat mengeratkan silaturrahim antara ibubapa dan guru sekaligus dapat bertukar-tukar pendapat dan info tentang anak-anak sekolah.

0 comments:

Post a Comment